Foto Instagram Alif Satar.

KUALA LUMPUR – Pengacara dan penyanyi terkenal, Alif Satar menyifatkan ibadah haji berjaya membuang sifat sombong dan takbur dalam diri seseorang kerana setiap para jemaah merasai pengalaman yang sama di Tanah Suci.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Alif memberitahu, salah satu rukun mengerjakan rukun haji yang meninggalkan kenangan tidak boleh dilupakan adalah ketika bermalam di Mina.

Ini kerana kata bapa kepada anak itu, setiap orang dilihat tidur di tepi jalan tanpa mengira status seseorang, baik mengambil pakej mahal, bergelar selebriti atau apa-apa sahaja jawatan tertinggi di sandang.

“Mengikut manasik haji Muhammad SAW, kami semua jamak takhir Maghrib dan Isyak dengan bermabit (bermalam) sehingga solat Subuh di Muzdalifah.

“Di sini, tidak kiralah bayar pakej ratus ribu, engkau berpangkat Tan Sri, artis yang orang sanjung hatta Mufti sekalipun, semua orang tidur tepi jalan,” tulisnya.

Penyanyi berusia 33 tahun menambah, pengalaman bermalam di Mina sedikit sebanyak memberinya merasai pengalaman hidup seperti seorang gelandangan.

Jelasnya, situasi di saling tidak tumpah seperti golongan kurang berkemampuan berkenaan sehingga merasakan diri seorang kerdil sebagai hamba Allah SWT.

“Bila aku fikir, rupanya macam inilah rasa orang ‘homeless’ (gelandangan). Tiada tempat mandi, kemudian waktu tengah malam korek tanah untuk mencari batu (persediaan melontar).

“Wallahi, walaupun masa ni dah dua malam tak mandi, tak pergi tandas, badan dah penat ditambah pula kekecohan bunyi dan bau asap ekzos bas.

“Dengan berlapik ‘sleeping bag’ dan beratapkan langit bintang. Allah bagi nikmat juga, dapat aku tidur yang lena. Tak percaya? Zoom lah muka aku tu, tidur pun ada senyum,” kongsinya secara berseloroh.

Sementara itu, Alif turut berkongsi serba sedikit pengalaman sewaktu mengerjakan rukun haji seperti perjalanan melontar jamrah dan berjalan kaki menuju ke Mekah.

Selain Alif, antara selebriti dan pempengaruh tempatan yang menunaikan ibadah haji adalah seperti Datuk Aaron Aziz, Faizal Tahir, Zul Ariffin, Lisdawati, Anne Ngasri, Hafiz Mahamad serta isteri.