Alif Satar & The Locos.

KUALA LUMPUR – Nama Alif Satar sebagai figura popular tidak perlu diperkenalkan lagi. Pencapaian diraih sepanjang pembabitan dalam bidang seni menjadikan Alif antara penyanyi lelaki terbaik dalam negara.

Bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, malah Alif yang sudah 15 tahun berada dalam industri hiburan tempatan turut cemerlang dalam bidang pengacaraan dan lakonan sekali gus dia juga layak memegang gelaran artis versatil.

Tidak mahu selesa dengan apa yang dimiliki sepanjang kerjaya, Alif membuat satu lagi transformasi dalam kanvas seninya apabila memilih bergerak dalam kumpulan bersama band dan kini dikenali sebagai Alif Satar & The Locos (ASTL).

Alif Satar & The Locos yang dianggotai oleh Alif selaku vokalis, Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram) masing-masing optimis untuk terus melangkah jauh dalam bidang muzik tempatan.

“Alif Satar & The Locos ini diwujudkan sejak lima tahun lalu. Kebetulan selepas 10 tahun saya menyanyi solo, saya terfikir untuk membuat perubahan baharu dalam kerjaya muzik. Selama ini saya menyanyi menggunakan minus one, jadi saya membayangkan alangkah menarik jika ada band dan boleh mengiringi setiap persembahan pentas saya.

“Sejak itu tertubuhnya ASTL yang mana kami bermula secara akustik. Kemudian kami bersama-sama menjayakan konsert pertama di Singapura bersama Siti Nordiana. Kemudian, kami mengadakan siri Jelajah Persembahan di Sheffield, United Kingdom (UK) pada 2019. Alhamdulillah, sudah lima tahun kami bersama dan ia satu perjalanan yang menyeronokkan.

“Diakui, saya sentiasa teruja membuat persembahan dengan band. Sekarang ini, apa saja projek kalau boleh memang nak membabitkan ASTL. Mereka tetap di hati saya,” katanya.

Alif Satar & The Locos ini diwujudkan sejak lima tahun lalu.

Sebagaimana Alif berjaya meletakkan kerjaya solonya di puncak kejayaan, begitu juga tinggi harapan Alif dalam ASTL.

Menurut Alif, dia mahu ASTL bekerjasama dengan penerbit dan komposer luar negara.

“Kami memang nak terokai lebih banyak peluang. Nak buat sesuatu, tak kira apa saja. Macam sekarang pun, kami ada studio sendiri dan lengkap dengan peralatan. Kami juga sudah buat banyak lagu nyanyian semula atau ‘cover version’. Malah, rakamannya bukan biasa-biasa, tapi lengkap dalam satu penerbitan.

“Kami juga ada merancang nak nyanyi semula lagu-lagu solo saya. Tapi, kali ini dalam versi ASTL. Malah, kalau ada peluang nak membuat rakaman di luar negara selain bekerjasama juga dengan penerbit asing ” katanya.

Berkongsi mengenai Anugerah Terindah, ilham menghasilkan lagu itu ketika mereka mengadakan Jelajah Persembahan di Sheffield, United Kingdom (UK) pada Februari 2019.

Lagu bergenre pop, R&B dan mempunyai sedikit pengaruh muzik 90-an itu adalah hasil ciptaan Alif sendiri bersama Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwais. Manakala lirik pula oleh Alif, Shah Shamsiri dan Romeo.

“Proses pembikinan single ini mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan iaitu dari 2019 sehingga tahun ini. Betapa uniknya lagu ini kerana ia adalah ciptaan bersama sebagai sebuah kumpulan muzik yang bermula di UK dan kemudiannya, bersambung di Malaysia pada tahun lalu ketika negara pula diarahkan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga ke dalam studio muzik pada tahun ini.

“Susunan muzik bagi lagu ini juga menggabungkan elemen elektronik yang membuatkan lagu ini tampak lebih segar dan terkini.

“Walaupun dunia dilanda wabak Covid-19 dan menjejaskan setiap aspek kehidupan, ASTL terus mengorak langkah dengan menyebarkan semangat positif melalui muzik. Bagi ASTL, ini adalah salah satu cara untuk menghiburkan dan juga mahu kembalikan semula semangat peminat.

“Dalam masa yang sama ingin menyampaikan mesej untuk sentiasa hargai anugerah terindah seperti pasangan hidup, ibu bapa, anak-anak mahu pun rakan-rakan selagi mereka masih ada di sisi,” katanya.

Alif Satar & The Locos juga adalah artis pertama Malaysia yang melancarkan lagu di dalam versi Spatial Audio yang dikuasakan oleh Dolby Atmos. Versi Spatial Audio ini hanya tersedia untuk pelanggan Apple Music tanpa kos tambahan.

Video muzik Anugerah Terindah arahan Ghaz Abu Bakar yang berkonsepkan ‘Black & Gold’ itu dilancarkan serentak di YouTube Warner Music Malaysia pada 23 Julai lalu.

Bagi Faliq Auri juga pemain Saksofon ASTL, dia menyifatkan Alif penyanyi yang memang dilahirkan dengan bakat besar.

“Satu perkara yang menarik bekerja dengan Alif adalah setiap nota lagu yang dinyanyikan tepat. Sebab saya dilahirkan dekat bakat yang boleh mengesan nota lagu. Jadi, setiap kali nak buat proses rakaman atau menjayakan persembahan dengan Alif, dia tidak pernah nyanyi salah.

“Dalam masa sama, dia seorang ketua yang bagus dalam band. Dia juga penasihat yang baik di mana selalu bagi kata-kata semangat kepada kami semua. Pendek kata, bekerja dengan dia adalah anugerah terindah dalam hidup saya,” katanya.

Sementara itu, Tam Cobain selaku pemain Gitar ASTL berkata, pengalaman dimiliki Alif dalam bidang nyanyian memudahkan banyak perkara.

“Alif ini sangat mudah, mungkin disebabkan pengalaman yang dia ada. Dalam setiap kerja, dia memang sangat teliti, tapi tidak sampai tahap cerewet. Ini kerana, dia masih boleh terima pandangan orang lain.

“Setiap kali buat persembahan, dia memang nak kami semua sama bertenaga macam dia. Kalau bahasa kasarnya, dia tak nak ada yang malas. Dia selalu pesan, persembahan kita kena memberi kesan pada penonton. Jadi, Alif bagi kami aura itu, kami pun dalam buat persembahan dengan mantap,” katanya. – MalaysiaGazette